♥.- VESPA and ME -.♥ ♥.- VESPA and ME -.♥: Keterangan tentang Solat Tahajud

Keterangan tentang Solat Tahajud

eyka | 6:46 PM | 0Comments |
Solat tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari,biasanya tengah
malam  atau  lewat tengah  malam. Solat tahajud juga dikenali juga sabagai shalatulail.Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah  tambahan pada waktu malam  begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini. Tunaikan sembahyang pada  malam hari dijanjikan kedudukan terpuji di akhirat


AMALAN solat sunat yang paling utama di sisi Islam adalah solat tahajud seperti sabda Nabi SAW: “Puasa paling utama selepas puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah, iaitu Muharam, sedangkan solat paling utama selepas solat wajib adalah solat malam (tahajud).” Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, Nombor 1163.
Namun begitu hanya segelintir umat Islam pada masa kini yang prihatin dan mengambil peduli berkaitan pelaksanaan ibadat solat tahajud ini. Majoriti umat Islam lebih memilih untuk tidur.
Tahajud terbentuk daripada kata dasar hajada bererti tidur dan tahajjada bererti berjaga. Jika seseorang berkata: Tahajjadtu bermaksud saya membuang jauh perasaan ingin tidur dari diri saya. Al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h berkata: “Imam al-Tobari menyatakan tahajjud berjaga selepas tidur terlebih dulu.
Menurut Ibn Faris: Al-Mutahajjid bermaksud orang yang solat pada malam hari. Menurut al-Kurra’ pula, tahajjud adalah solat malam secara khusus.” Rujuk kitab al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 203
Oleh itu, solat tahajud adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam, iaitu selepas mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk waktu solat Subuh. Namun, waktu paling utama dilaksanakan solat tahajud adalah satu pertiga malam terakhir iaitu bermula jam 3 pagi hingga masuk waktu Subuh.

Dalil disyariatkan solat tahajud ini adalah sebagaimana firman Allah SWT: “Dan bangunlah pada sebahagian dari malam serta kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu sebagai solat tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Israa’: 79)

Abu Ubaidah menyatakan di dalam Kitab al-Majaz: “Maksud firman Allah kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu ialah berjagalah pada malam hari untuk melakukan solat.” Rujuk kitab al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 202

Dalil solat tahajud lebih utama dilakukan satu pertiga malam terakhir berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih ada baki satu pertiga malam yang akhir.

Allah berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, pasti Aku akan memakbulkannya, sesiapa yang meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku pasti Aku akan mengampuninya.”

Ternyata ibadat di dalamnya ada doa, permintaan dan permohonan ampun adalah solat.
Rasulullah SAW seorang insan dijamin Allah akan masuk syurga. Baginda juga sebaik-baik manusia, malah digelar sayyid al-Mursalin, iaitu penghulu segala Rasul. Baginda insan maksum dan bebas daripada sebarang bentuk dosa.
Walaupun dengan kedudukan sedemikian, Baginda tetap bersungguh-sungguh mengerjakan solat tahajud sehingga pecah tumit kakinya. Isterinya Aisyah r.a melihat sendiri kesungguhan luar biasa Baginda ini dan beliau hairan kenapa Rasulullah masih ingin bersusah payah melakukan ibadat itu sedangkan dia seorang yang dijamin syurga.
Kisah ini disampaikan Aisyah r.a sendiri dalam sebuah hadis: Sesungguhnya Nabi SAW mengerjakan solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Aisyah berkata kepada Baginda: Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, pada hal Allah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang? Baginda bersabda: Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?”  Hadis riwayat al-Bukhari.
Justeru, selepas dibandingkan amalan Rasulullah SAW ini dengan diri kita yang sentiasa bergelumang dengan dosa, mengapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh melaksanakan solat tahajud? Adakah kita menganggap diri kita setanding atau lebih baik daripada Rasulullah SAW?
Allah mengurniakan pelbagai keutamaan besar bagi mereka yang melaksanakan solat tahajud. Mereka mengerjakan ibadat pada malam hari akan dikurniakan kedudukan terpuji di sisi Allah di akhirat kelak yakni menjadi ahli syurga.

No comments: